AM

Sultan Sharafuddin, Tengku Norashikin Zahir Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina

16/02/2026 08:45 PM

SHAH ALAM, 16 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat yang meraikannya.

Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah agar setiap perayaan dijadikan wadah memperkukuh semangat muhibah dan saling hormat-menghormati antara kaum.

Baginda bertitah amalan kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah serta amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar rakyat tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak khususnya ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.

“Perpaduan yang kita bina sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecahbelahkan masyarakat. Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu.

“Beta berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama. Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah baginda. 

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan agar setiap rakyat terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.

Baginda bertitah perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun sebaliknya lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara, menjadikan Malaysia unik serta dihormati di persada dunia.

“Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa sinar harapan baharu, memperkukuh perpaduan serta menambahkan rasa kasih sayang antara kita,” titah baginda. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan