KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Sejumlah RM14 juta daripada RM50 juta peruntukan bagi Program Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) telah disalurkan kepada 2,010 peminjam di seluruh negara melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata setakat ini, kira-kira 100 peminjam di Sarawak telah mendapat manfaat daripada program tersebut sebagai modal pusingan perniagaan sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri.
“Permohonan ini masih dibuka sehingga 15 Mac depan, jadi peniaga di Bazar Ramadan, peniaga dari rumah serta pelbagai lagi usahawan yang berasaskan tema Ramadan dan Aidilfitri boleh merebut peluang ini untuk mendapatkan pinjaman.
“Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga maksimum sehingga RM30,000. Permohonan tambahan akan dipertimbangkan mengikut skala perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di sini, hari ini.
Mohamad berkata selain BARAKAT, Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) berjumlah RM30 juta turut diperkenalkan sempena Tahun Baharu Cina oleh SME Corp Malaysia.
“Kita peka dengan persekitaran dan kepelbagaian perayaan di Malaysia. Saya akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong untuk memperkenalkan program pembiayaan sempena Hari Gawai, Kaamatan dan Hari Krismas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial