Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan makanan asas negara kekal terkawal dan mencukupi meskipun permintaan dijangka melonjak sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang bakal tiba.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tiada laporan awal gangguan bekalan serius setakat ini kerana persiapan rapi telah dilakukan selain memantau rantaian stok secara berterusan dari peringkat pengeluaran hingga pengedaran bagi menjamin kesinambungan barangan asas di pasaran.
Beliau berkata kementerian juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan pengeluaran domestik, penyelarasan logistik serta pelaksanaan program jualan terus kepada pengguna bagi menjamin akses kepada bekalan makanan tanpa kebimbangan terhadap kekurangan barangan keperluan di pasaran.
"Kerajaan melalui KPKM memberi jaminan bekalan makanan asas seperti ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah mencukupi dan stabil di seluruh negara bagi menampung keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
"Pemantauan data semasa menunjukkan sumber pengeluaran domestik stabil dan mampu menampung peningkatan permintaan bermusim. Kerajaan komited memastikan bekalan makanan asas negara sentiasa mencukupi dan stabil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan sepanjang Tahun Baharu Cina serta persiapan menyambut Ramadan seperti dibangkitkan pengguna media sosial susulan tular penutupan premis oleh peniaga sempena perayaan itu.
Dalam usaha memperkukuh akses bekalan, beliau berkata KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) giat melaksanakan Program Jualan Agro MADANI (JAM) di seluruh negara sebagai langkah proaktif memastikan akses bekalan mencukupi sepanjang musim perayaan.
"Setakat 8 Feb, sebanyak 478 program JAM telah dilaksanakan dengan tawaran harga 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
"Bagi tempoh Tahun Baharu Cina, Ramadan dan sebelum Syawal, sebanyak 572 lagi program JAM akan dianjurkan di seluruh negara bagi memastikan rakyat mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan pemantauan bekalan serta penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.
"Langkah ini penting bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyorokkan bekalan, sekali gus melindungi pengguna sepanjang musim perayaan dan Ramadan," katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementeriannya akan melaksanakan Ops Pantau dari 19 Feb hingga 20 Mac bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.
Armizan berkata penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan, juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial