JENAYAH & MAHKAMAH

Jenazah Lima Sekeluarga Selamat Dikebumikan Di Cerating

18/02/2026 08:37 PM

KUANTAN, 18 Feb (Bernama) -- Jenazah lima sekeluarga yang terlibat dalam insiden pembunuhan menyayat hati di kawasan perumahan Cerating Damai di sini selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating di sini pada 7.20 malam ini.

Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56, dikebumikan bersama menantunya, Nurul Asshiykin Kamarulzaman, 33, serta dua cucu iaitu Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, dalam satu liang lahad.

Jenazah anak lelaki Tuan Kamaria, yang berusia 32 tahun, dikebumikan secara berasingan beberapa meter dari kubur berkenaan dalam kawasan tanah perkuburan yang sama.

Empat van yang membawa kelima-lima jenazah tiba di tanah perkuburan pada 6.50 petang dengan diiringi ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung, sebahagian besarnya kelihatan sugul dan gagal menahan kesedihan.

Terdahulu, jenazah Tuan Kamaria, Nurul Asshiykin serta dua anaknya dimandi dan dikafankan di Masjid Cerating manakala jenazah anak lelakinya dibawa ke Masjid Sungai Ular untuk urusan sama.

Solat jenazah dilaksanakan di Masjid Cerating sebelum jasad lima sekeluarga itu dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan