KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Atlet luncur alpine negara Aruwin Salehhuddin menamatkan kempen Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 hari ini dengan menduduki tempat ke-44 dalam acara slalom wanita di Pusat Ski Alpine Tofane di Itali.
Menurut laman web rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk https://www.olympics.com/en/milano-cortina-2026, atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan masa keseluruhan satu minit 54.82 saat (s).
Persembahan Aruwin menunjukkan kemajuan yang ketara sepanjang hari apabila beliau menamatkan larian pertama di tempat ke-54 dengan catatan 55.09s dan melonjak 10 kedudukan pada larian kedua (59.73s).
Keputusan itu menjadi penebusan buat satu-satunya wakil Malaysia di Itali dan berjaya memperbaiki pencapaian pada penampilan pertama di Beijing 2022 apabila beliau gagal menamatkan saingan dalam acara sama.
Acara itu menyaksikan atlet Amerika Syarikat Mikaela Shiffrin meraih pingat emas dengan masa keseluruhan 1:39.10s.
Camille Rast dari Switzerland membawa pulang pingat perak (1:40.60s) manakala atlet Sweden Anna Swenn Larsson melengkapkan podium dengan pingat gangsa (1:40.81s).
Slalom ialah perlumbaan ski alpine paling pendek, dengan atlet lazimnya menamatkan perlumbaan dalam masa antara 50 hingga 60s dan mempunyai jumlah selekoh paling banyak.
Peserta perlu meluncur menuruni laluan perlumbaan, mengelilingi deretan pintu yang disusun secara rapat berturutan sehingga mereka tiba di garisan penamat.
Jika seorang atlet gagal melepasi mana-mana pintu pada larian pertama, mereka akan menerima DNF (Did Not Finish) dan tidak dibenarkan memulakan larian kedua.
Begitu juga, jika terlepas mana-mana pintu atau meluncur keluar daripada laluan pada larian kedua akan mengakibatkan DNF, sekali gus menghalang atlet berkenaan daripada menerima keputusan akhir rasmi.
Pada Ahad lepas, Aruwin membuat penampilan yang mencabar apabila beliau gagal menamatkan acara giant slalom wanita di lokasi sama.
Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, yang bermula pada 6 Feb akan berakhir Ahad ini (22 Feb).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial