AM

Kematian Truper Indiran: Tiada Unsur Penderaan, Jangan Politikkan Isu - Mohamed Khaled

21/02/2026 04:28 PM

JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera Truper K. Indiran, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan pagi ini.

“Jangan dipolitikkan isu ini, biarlah perkara ini disiasat dahulu,” katanya selepas menyerahkan Bantuan Persekolahan Kembali ke Sekolah bagi Parlimen Pasir Gudang di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat perkara itu sekiranya perlu.

MIC Pulau Pinang sebelum ini menggesa siasatan menyeluruh dan telus dijalankan berhubung kematian mendiang Indiran, 22, dan mendakwa kemungkin besar wujud kecederaan dalaman yang memerlukan siasatan lanjut.

Pada 18 Feb lepas, Indiran yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

Mendiang adalah anak kepada Mejar C. Kayamboo, iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

Mendiang dijangka dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang hari ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan