AM

Lebih RM123 Juta Diluluskan Kepada 1,048 RIBI Di Seluruh Negara Di Bawah Kerajaan MADANI

22/02/2026 02:20 PM

IPOH, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menerusi inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), telah meluluskan peruntukan berjumlah RM123,716,331.27 kepada 1,048 RIBI di seluruh negara setakat Disember lepas.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi memelihara RIBI sebagai institusi penting komuniti selaras dengan prinsip keterangkuman, perpaduan dalam kepelbagaian dan keharmonian sosial.

“Rumah ibadat bukan sekadar struktur fizikal sebaliknya pusat bagi menyemai nilai-nilai murni, perpaduan nasional dan kesejahteraan komuniti.

"Tiada rumah ibadat yang harus dibiarkan uzur atau terabai kerana setiap komuniti berhak mendapat akses kepada kemudahan untuk beribadat yang selamat, sempurna dan selesa,"’ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sebuah Gereja Methodist Cina di Taiping semalam menerima peruntukan sebanyak RM250,000 bagi membaik pulih rumah ibadat Methodist pertama di Malaysia yang dibina pada 1905, iaitu warisan bersejarah berusia 121 tahun di Bukit Larut.

Beliau berkata peruntukan itu digunakan oleh pihak gereja bagi menggantikan lantai kayu yang rosak, memasang siling baharu, menjalankan kerja-kerja mengecat semula dan membaik pulih sistem pendawaian elektrik.

Menurut kenyataan itu, Nga mengakhiri lawatan kerjanya ke Taiping dengan meninjau Medan Siang Malam bagi melihat sendiri kerja-kerja naik taraf yang telah dilaksana di lokasi tumpuan pelancong yang ingin menikmati juadah tempatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan