AM

RUU: Bekas PM Ada Rekod 10 Tahun Berkhidmat Tidak Boleh Dilantik Semula 

23/02/2026 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri yang mempunyai rekod perkhidmatan selama 10 tahun sebelum ini tidak boleh dilantik semula apabila Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan kelak. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU itu memperuntukkan tahun perkhidmatan bagi mana-mana Perdana Menteri bukan ditentukan berdasarkan tempoh penggal Parlimen. 

“Misalnya (selepas RUU lulus), PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menang lagi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16, dia nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh... sebab kalau dikira dari tahun, ada (baki) tujuh tahun lagi.

“Mungkin Tan Sri Muhyiddin (Yasin), kalau jadi Perdana Menteri lagi sebab dia menang, (tempoh berkhidmat) dia tinggal lapan tahun. Kemudian, (Ahli Parlimen) Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin tinggal sembilan tahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai RUU itu di Dewan Serbaguna Parlimen, hari ini.

Hadir ke sesi itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan beberapa Ahli Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

Terdahulu, Azalina membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan terhadap Perlembagaan itu dibuat bagi memenuhi komitmen manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 serta hasrat Kerajaan MADANI merealisasikan reformasi institusi.

Beliau berkata pendirian Kerajaan MADANI adalah memastikan jawatan Perdana Menteri tidak boleh disandang untuk tempoh terlalu lama iaitu melebihi 10 tahun.

Mengenai sama ada pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri itu diteruskan selepas pentadbiran Kerajaan MADANI, Azalina berkata perkara itu bergantung kepada pimpinan kerajaan pada ketika itu.

“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan seterusnya yang mempunyai majoriti dua pertiga boleh meminda undang-undang...itu sememangnya prerogatif mereka,” katanya.

Azalina berkata RUU berkenaan hanya melibatkan tempoh jawatan Perdana Menteri sahaja dan tiada kaitan secara langsung dengan jawatan Ketua Menteri mahupun Menteri Besar kerana ia adalah urusan melibatkan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan