AM

Bersih Gesa Ahli Parlimen Sokong RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri

23/02/2026 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa semua ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata pembentangan RUU itu adalah manifestasi kepada lonjakan penting penting agenda reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI yang berpotensi memberi kesan positif untuk jangka masa panjang.

“Ini termasuk penegasan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa had tempoh tersebut turut terpakai kepada beliau yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih tiga tahun.

“Justeru, Bersih menggesa dukungan semua ahli Parlimen untuk menyokong RUU ini agar ia diluluskan di Parlimen nanti,” menurut kenyataan itu.

Menurut Bersih, sekiranya diluluskan, RUU itu akan menjadi mekanisme penting bagi mengelakkan pemusatan kuasa Perdana Menteri yang memegang kuasa untuk satu tempoh yang lama yang berisiko membawa kepada kecenderungan pemerintahan kuku besi. 

Gabungan itu turut menekankan kepentingan semua ahli Parlimen membahaskan RUU tersebut secara menyeluruh dengan baik dan berkesan.

Selain had tempoh jawatan Perdana Menteri, Bersih turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi mengurangkan pergeseran kuasa serta pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan di pertengahan penggal seperti yang berlaku selepas Langkah Sheraton.

Pertukaran yang kerap dalam masa yang singkat akan mewujudkan kerajaan yang tidak stabil dan juga tidak mengangkat prinsip demokrasi berparlimen ke peringkat yang lebih baik.

Terdahulu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu bertujuan meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan fasal baharu (2a) yang memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh pada bila-bila masa memegang jawatan itu selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah lebih daripada 10 tahun sama ada terus-menerus atau selainnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan