AM

KUSKOP Sasar RM50 Juta Pembiayaan AIM Untuk Usahawan Wanita India Tahun Ini

25/02/2026 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan peruntukan akses pembiayaan berjumlah RM50 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) khusus bagi memperkasakan usahawan wanita baharu dalam kalangan masyarakat India tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata prestasi usahawan wanita India yang menerima pembiayaan AIM menunjukkan trend peningkatan ketara, terutamanya selepas tempoh pandemik COVID-19.

"Paling ketara adalah pada 2024, kita melihat peningkatan kepada 3,577 usahawan termasuk 1,605 peminjam baharu atau 44.87 peratus, dan angka ini terus melonjak kepada 4,739 usahawan pada 2025 dengan 2,597 peminjam baharu atau 54.8 peratus.

"Prestasi ini mencerminkan momentum pemulihan dan peningkatan keyakinan usahawan wanita masyarakat India terhadap kemudahan pembiayaan yang disediakan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Puan K Saraswathy mengenai perkembangan skim pembiayaan AIM bagi komuniti berkenaan termasuk bilangan peminjam baharu setiap tahun.

Beliau berkata sektor perkhidmatan kekal sebagai bidang paling dominan diceburi usahawan wanita India iaitu sebanyak 66.17 peratus, merangkumi perniagaan jualan langsung, pembersihan, pasar mini, jahitan dan bengkel kenderaan.

Ia diikuti sektor makanan dan minuman (F&B) sebanyak 30.34 peratus, manakala bakinya 3.49 peratus melibatkan sektor pelancongan, penternakan dan pertanian.

Dalam pada itu, Mohamad berkata KUSKOP melalui agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan SME Corp sentiasa komited menyediakan latihan bimbingan, termasuk dalam bidang pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan usahawan PKS mampu berdaya saing.

Beliau turut menyatakan kesediaan kementerian untuk berkolaborasi dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membincangkan syor mengenai kos faedah pinjaman serta sokongan tambahan kepada golongan usahawan masyarakat India.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan