AM

FSTC Kenal Pasti Keperluan Hampir 59,000 Tenaga Kerja - Ramanan

25/02/2026 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menubuhkan 18 MyMAHIR Future Skills Talent Council (FSTC) bagi memastikan kemahiran graduan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata FSTC telah mengenal pasti keperluan bagi hampir 59,000 tenaga kerja pada Disember lepas, dengan dapatan itu menjadi asas penting dalam membentuk program latihan yang relevan, responsif serta selari dengan keperluan pasaran kerja.

“Kemudian, program MyMAHIR Skills Lab di bawah TalentCorp menyediakan latihan intensif berfokus kepada kemahiran masa hadapan seperti analitik data, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang dikenal pasti menerusi dapatan FSTC.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama majikan dan penyedia latihan industri, merangkumi latihan berasaskan projek sebenar, bimbingan industri serta jaminan temu duga atau penempatan pekerjaan selepas tamat latihan, dengan kadar gaji permulaan antara lima dan 15 peratus lebih tinggi daripada purata pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai usaha kerajaan bagi memastikan kesesuaian kemahiran graduan institusi pengajian tinggi dengan keperluan dan permintaan pekerjaan pada masa hadapan.

Ramanan berkata KESUMA memberi fokus terhadap kesesuaian kemahiran graduan dengan keperluan dan permintaan pekerjaan masa hadapan, khususnya dalam mendepani perkembangan pesat teknologi digital.

Beliau berkata walaupun agensi latihan di bawah KESUMA memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), graduan institusi pengajian tinggi turut disokong menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Internship Training Scheme (ITS) oleh HRD Corp.

“ITS menyediakan latihan praktikal berstruktur kepada graduan berdasarkan keperluan majikan dan modul latihan yang dibangunkan bersama industri bagi memastikan kemahiran diperoleh selaras dengan permintaan semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan