KANGAR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis akan menubuhkan Pusat Sehenti Khas (OSC) Permit Pembangunan bagi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat Padang Besar, dalam usaha mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan aksesibiliti di negeri ini.
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata penubuhan OSC Khas ini juga bertujuan memudah cara, menyelaras serta mempercepat proses kelulusan permohonan pembangunan dan pelaburan di kawasan itu secara lebih cekap dan bersepadu.
Pendekatan bersepadu itu, katanya, bertujuan memastikan setiap permohonan pembangunan diproses secara lebih telus, sistematik dan berkesan.
“Untuk permulaan, Unit OSC Khas CVIA itu akan diurus Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Perlis dengan kerjasama rapat jabatan teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi lain berkepentingan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata inisiatif penubuhan OSC Khas CVIA itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan pewujudan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Padang Besar (Interim) yang dijadualkan bermula pada 1 Jan 2027.
Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan pembangunan CVIA dapat dilakukan dengan lebih pantas dan teratur, kerajaan negeri bersetuju supaya PBT Padang Besar (Interim) Fasa 1 dilaksanakan lebih awal melibatkan keseluruhan kawasan perindustrian itu dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial