AM

Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian Dekat Padang Besar Dibuka Semula 1 Mac

25/02/2026 06:22 PM

KANGAR, 25 Feb (Bernama) -- Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian dekat Padang Besar akan dibuka semula untuk semua kenderaan mulai 1 Mac ini tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya terhadap syarat keselamatan yang ditetapkan.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pembukaan semula laluan itu dibuat setelah mengambil kira aspek keselamatan struktur jalan, keperluan kawalan trafik serta kepentingan mobiliti penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

“Sehubungan dengan itu, bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan semua pihak, hanya kenderaan berat dengan had muatan tiga tan dan ke atas dibenarkan menggunakan laluan ini dalam tempoh pukul 6 pagi hingga 6 petang.

“Bagi kenderaan ringan, tiada had masa dikenakan. Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi papan tanda, peraturan lalu lintas serta arahan petugas keselamatan di lokasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata pembukaan laluan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Pembukaan Semula Jalan Wang Kelian bersama dengan jabatan dan agensi teknikal serta agensi penguatkuasaan berkaitan yang diadakan pada 20 Feb lepas.

Jalan berkenaan ditutup susulan berlaku kejadian tanah runtuh di 11 lokasi di sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan, Thailand semasa banjir di Perlis pada penghujung November tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan