AM

Projek Melon Manis Manfaatkan 28 Usahawan Tani Terengganu

25/02/2026 10:04 PM

MARANG, 25 Feb (Bernama) -- Projek Melon Manis Terengganu yang diljalankan menerusi kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini memberi manfaat kepada 28 usahawan tani di negeri ini, sekali  gus membantu mereka menikmati pendapatan lebih stabil serta memperkukuhkan ekonomi setempat.

Pengarah Jaminan dan Pengurusan Program Teraju Suhaila Salleh berkata projek yang menerima peruntukan lebih RM2 juta itu telah dilaksanakan selama lima tahun, merangkumi dua tahun fasa pelaksanaan dan tiga tahun fasa pemantauan sebelum diserahkan kepada komuniti untuk penyelenggaraan dan pengurusan.

"Projek ini berada di peringkat pertengahan dan telah melalui penuaian pertama. Ia merupakan projek rasmi Teraju yang lebih berstruktur dengan penambahan ilmu daripada universiti.

"Teraju menyediakan dana bagi membantu meningkatkan kapasiti penanaman melon. Peruntukan digunakan untuk pembangunan infrastruktur, manakala latihan peserta turut dibiayai menggunakan dana kami sendiri. UMT pula bertindak sebagai rakan strategik yang membantu dari aspek latihan serta membimbing peserta," katanya selepas Majlis Pengiktirafan Impak Projek Komuniti Kolaborasi Teraju-UMT di UMT Bukit Kor di sini hari ini.

Menurutnya terdapat peningkatan ketara dalam kalangan peserta yang sebelum ini tidak mempunyai pendapatan tetap dan kurang memberi tumpuan kepada penanaman melon. Namun kini, mereka mampu menjana hasil serta memasarkan produk di pasar tempatan.

“Kita juga menjalinkan kerjasama dengan pihak industri, termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu menghantar hasil ke pasar tani serta Jabatan Pertanian dari segi sokongan teknikal,” katanya.

Beliau berkata, melalui pendekatan berstruktur yang menggabungkan pembangunan infrastruktur, pemindahan teknologi dan latihan pengurusan perniagaan, peserta kini memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan.

Selain pengeluaran hasil, katanya, peserta turut dibimbing untuk beralih daripada operasi pertanian tidak formal kepada pengurusan perniagaan lebih profesional dan telus melalui latihan berstruktur dalam pengurusan kewangan, perakaunan serta tadbir urus.

Sebanyak 17 unit rumah pelindung hujan (RPH) lengkap dengan sistem fertigasi separa terbuka telah dibangunkan di Kampus UMT Bukit Kor, merangkumi kawasan seluas 0.607 hektar.

Fasiliti ini mampu menampung sehingga 7,200 polibeg dengan setiap peserta di lokasi berasingan boleh mengusahakan sekitar 1,000 pokok melon manis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan