AM

Banjir: Lima Jalan Ditutup, Laluan Kereta Api Terjejas Di Beaufort

26/02/2026 01:03 PM

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Lima jalan di daerah Beaufort tidak boleh dilalui semua kenderaan selain laluan kereta api juga terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua lima laluan itu ditutup sepenuhnya dan tiada jalan alternatif disediakan buat masa ini.

“Laluan itu ialah Jalan Bintuka, Jalan SRK Batu 60, Jalan Lumatai, Jalan Binunuk dan Jalan Luagan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Jalan Kota Kinabalu-Sindumin berhampiran Petronas Bakalau hanya boleh dilalui satu lorong berikutan paras air sungai pada tahap berbahaya.

“Bagi mengelakkan kesesakan di situ, pengguna dinasihatkan menggunakan Jalan Haji Akhbar Khan sebagai jalan alternatif,” menurut kenyataan itu.

JKR Sabah memaklumkan tindakan awalan serta sementara melalui pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan dan status jalan terlibat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah memaklumkan banjir menjejaskan Stesen Membakut dan Stesen Beaufort kerana menyebabkan laluan ke kawasan itu tidak boleh dilalui.

Sehubungan dengan itu, perkhidmatan kereta api laluan Sembulan-Beaufort dari Stesen Sembulan di Kota Kinabalu hanya akan sampai ke Stesen Bongawan buat masa ini manakala laluan Beaufort-Sembulan bermula di Stesen Bongawan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan