JENAYAH & MAHKAMAH

Keluarga Berpengaruh Disyaki Terbabit Rancang Jatuhkan Kerajaan Guna Media Antarabangsa

27/02/2026 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa menggunakan agensi perhubungan awam dan media antarabangsa dalam usaha menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Perkara tersebut diperoleh hasil laporan polis yang dibuat seorang individu di ibu negara pada 10.29 pagi semalam.

Berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa terdapat perbincangan dalam kalangan sekumpulan individu yang merancang menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Laporan itu mendakwa tekanan tersebut dibuat khususnya berkaitan usaha menggugurkan dakwaan dalam siasatan melibatkan agensi tersebut.

Selain itu, pengadu turut mendakwa khidmat pelobi di beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) turut digunakan bagi memberi tekanan kepada Malaysia.

Pengadu turut mendakwa kaedah penggunaan pelobi itu didakwa merupakan strategi profesional yang lazim digunakan untuk mempengaruhi dasar sesebuah negara serta hala tuju sesuatu isu di peringkat global.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.

Mohd Khalid berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan berhubung kes itu masih diteruskan dan menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sementara siasatan dilengkapkan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan