LABUAN, 27 Feb (Bernama) -- Projek pembinaan Kompleks Sukan Labuan yang dinantikan sekian lama kini mencapai kemajuan, dengan sebahagian daripada kemudahan telah siap menerusi peruntukan bernilai RM21.1 juta bermula pada Disember 2021.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol yang meninjau pembinaan berkenaan hari ini berkata projek itu menghadapi pelbagai cabaran kerana dilaksanakan bermula semasa tempoh pandemik COVID-19.
“Kita sedar cabaran yang timbul pada peringkat awal pembinaan kerana projek ini bermula ketika pandemik berada pada kemuncaknya.
“Walaupun berdepan kesukaran, Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan telah memantau perkembangan projek dengan rapi bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap spesifikasi,” katanya kepada Bernama selepas menerima taklimat daripada Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah di tapak projek terbabit.
Beliau berkata Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan juga menjalin kerjasama rapat dengan JKR dan kontraktor bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Antara kemudahan yang telah disiapkan ialah Bangunan Dewan dan Pejabat Pentadbiran, gelanggang tenis dan badminton serta sistem lampu jalan.
“Penghargaan perlu diberikan kepada JKR, JBS Labuan serta pihak kontraktor kerana mempercepat projek ini walaupun menghadapi pelbagai kekangan. Kerajaan Persekutuan amat mengambil berat mengenai penyelesaian tepat pada masanya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Faizul berkata antara cabaran utama dihadapi ialah mendapatkan bahan binaan kerana kebanyakannya perlu diperoleh dari tanah besar serta kekurangan tenaga kerja.
“Bagaimanapun kita berjaya mengatasi masalah ini mengikut kemampuan dan pihak kontraktor juga komited untuk menyiapkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata komponen lain dalam projek itu merangkumi trek larian, struktur stadium, podium kompleks dan pagar perimeter yang sedang disiapkan mengikut jadual.
Kompleks Sukan Labuan dijangka mampu meningkatkan pembangunan sukan di pulau bebas cukai itu, dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk program belia, acara sukan komuniti dan inisiatif pembangunan bakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial