JENAYAH & MAHKAMAH

Guru Maut Dalam Nahas Babitkan Empat Kenderaan Di Tanah Merah

27/02/2026 06:57 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Seorang guru lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu terlibat dalam nahas membabitkan sebuah lori dan tiga kereta di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli berhampiran Kampung Jedok di Tanah Merah, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata Muhammad Syahmi Hasbullah, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati insiden pada 4.40 petang itu berlaku apabila sebuah lori dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli bertembung dengan kereta mangsa.

"Kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba. Perlanggaran secara hadapan tidak dapat dielakkan kerana jarak yang terlalu dekat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, Mohd Haki berkata mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Gajah.

Beliau berkata lori terbabit pula terbabas lalu melanggar sebuah kereta yang diletak di hadapan sebuah rumah manakala sebuah lagi kereta mengalami kerosakan ringan ketika cuba mengelak.

Mohd Haki berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan