JENAYAH & MAHKAMAH

Kerajaan Terus Perkukuh Kapasiti, Kesiapsiagaan APM - Ahmad Zahid

01/03/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkukuh kapasiti, latihan serta kesiapsiagaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaras dengan usaha membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan risiko bencana yang semakin kompleks.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap kali negara diuji dengan bencana seperti banjir, kebakaran mahupun tanah runtuh, anggota APM sentiasa menjadi antara pasukan terawal yang turun ke lapangan.

“Mereka hadir dengan penuh dedikasi, berganding bahu bersama agensi penyelamat lain menghulurkan bantuan dan memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Sesungguhnya, dedikasi dan pengorbanan wira dan wirawati Pertahanan Awam dalam menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat amat besar maknanya kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena sambutan Hari Pertahanan Awam Sedunia ke-95 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga APM yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam pengurusan bencana, operasi menyelamat serta bantuan kemanusiaan.

“Semoga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terus kekal teguh, berwibawa dan menjadi benteng keselamatan rakyat. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook sempena memperingati Hari Tentera Darat Malaysia ke-93, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghormatan dan penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) atas jasa serta pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Beliau berkata selama lebih sembilan dekad, TDM kekal sebagai benteng utama keselamatan tanah air yang berpegang teguh kepada semangat gagah setia dalam melindungi negara tercinta.

Bertepatan dengan tema tahun ini “Kemahuan Untuk Menang: Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat”, beliau berkata ia mencerminkan tekad dan iltizam berterusan untuk memperkukuh kesiapsiagaan serta profesionalisme pertahanan dalam mendepani cabaran semasa.

“Saya sentiasa mendoakan semoga Tentera Darat Malaysia terus unggul, berwibawa dan sentiasa menjadi perisai pertahanan negara demi memastikan keamanan serta kestabilan tanah air kekal terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan