GEORGE TOWN, 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 23 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas empat rumah setinggan satu tingkat didiami musnah dalam kebakaran di Tanjung Tokong di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.14 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Sebaik tiba, bomba mendapati api sedang marak dan kebakaran melibatkan empat rumah berkeluasan antara 55 meter persegi hingga 75 meter persegi serta sebuah motosikal Honda Ex5 milik penghuni kediaman itu.
“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 3.42 pagi daripada terus merebak ke rumah lain yang terdapat di kawasan itu dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 6 pagi sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan,” katanya.
Beliau berkata empat rumah itu didiami 23 penghuni melibatkan 10 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan tujuh kanak-kanak daripada keluarga Melayu serta Rohingya, namun kesemua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial