KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai perkongsian pengalaman seorang pencipta kandungan di platform Tiktok, kini berkembang menjadi satu gerakan kesedaran komuniti seluruh negara, apabila rakyat Malaysia mula berkongsi kisah di platform tersebut sebagai inisiatif mencegah penipuan.
Menggunakan tanda pagar #FikirDulu gerakan kesedaran itu semakin meraih momentum apabila pengguna platform tersebut tampil berkongsi pengalaman peribadi berdepan taktik penipuan, sekali gus memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berwaspada.
Menurut satu kenyataan daripada TikTok, trend tersebut tercetus apabila seorang pencipta kandungan popular tempatan Moses Wong (@moseswck) memuat naik video mengenai individu terdekatnya yang hampir terpedaya dengan tawaran kerja palsu.
Menerusi video itu, Wong bukan sahaja berkongsi kisah penipuan, malah mengajak pengguna lain untuk membuat “stitch” dan menceritakan pengalaman masing-masing supaya lebih ramai dapat mengambil iktibar.
Antara yang menyertainya seorang pencipta kandungan, J (@isawkwardguy) yang berkongsi pengalaman menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Turut menyertai trend berkenaan ialah jurulatih digital, Sufina (@wfsufina), yang menghuraikan bagaimana taktik penipuan pancingan data dengan menceritakan kes seorang pesara yang kerugian RM82,600 selepas terpedaya dengan skim pelaburan e-dagang palsu.
Dalam pada itu, personaliti popular tempatan, Jestinna Kuan, turut mengikuti trend itu dan menyatakan penipuan sekarang juga berlaku secara bersemuka dengan berkongsi kisah tentang penipuan pelancong yang bertujuan memaksa mereka membayar wang menerusi penipuan peranti mudah alih.
Sementara itu, seorang lagi pencipta kandungan TikTok Kee (@cloutykee) turut menyertai trend #FikirDulu dengan berkongsi satu lagi penipuan Macau dan pancingan data yang menyebabkan rakan baiknya kerugian RM2,000, selepas penipu berpura-pura menjadi seorang pegawai bank dan polis melalui panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
Usaha diterajui oleh komuniti ini menekankan falsafah kolektif ‘Fikir, Cegah dan Lindung’, menggesa rakyat Malaysia untuk mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi seperti portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Investment Checker Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang pembayaran.
Inisiatif #FikirDulu yang disokong oleh TikTok Malaysia, berfungsi sebagai platform literasi digital yang menggerakkan kesedaran komuniti ini.
Menerusi Hab Pengetahuan yang tersedia dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil platform itu menawarkan panduan keselamatan langkah demi langkah serta maklumat penting berkaitan taktik penipuan semasa.
TikTok berkata pendekatan itu, yang turut mendapat kerjasama daripada PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bertujuan untuk memupuk komuniti dalam talian yang lebih bermaklumat dan berdaya tahan.
Daripada sekadar menikmati hiburan, rakyat Malaysia kini menggunakan ruangan komen dan ciri "stitch" platform tersebut untuk mewujudkan ruang perlindungan antara satu sama lain, membuktikan bahawa komuniti dalam talian boleh menjadi kuasa yang ampuh untuk kebaikan sosial.
Netizen yang berminat untuk menyertai gerakan ini atau mengetahui lebih lanjut tentang pencegahan penipuan boleh mencari tanda pagar #FikirDulu di TikTok untuk mengakses hab pengetahuan berbilang bahasa dan berkongsi kisah mereka sendiri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial