EKONOMI

Pengeluaran Minyak Mentah, Kondensat Meningkat 1.1 Peratus Pada 2025 - DOSM

04/03/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pengeluaran minyak mentah dan kondensat negara meningkat 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong pada 2025, sekali gus memulihkan penyusutan 3.5 peratus yang direkodkan pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah serta prestasi kondensat yang lebih kukuh, dengan pengembangan 6.1 peratus berbanding 2.7 peratus pada tahun sebelumnya.

“Dari segi komposisi, minyak mentah merangkumi 67.9 peratus atau 124.6 juta tong manakala kondensat menyumbang 32.1 peratus bersamaan 59.0 juta tong.

“Sementara itu, pengeluaran gas asli mencatatkan 2.9 bilion kaki padu (2024: 3.0 peratus; 2.94 bilion kaki padu),” katanya dalam kenyataan Statistik Perlombongan Petroleum dan Gas Asli suku keempat 2025, hari ini.

Bagi prestasi suku tahunan, Mohd Uzir berkata pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025 (suku ketiga 2025: 7.9 peratus), dengan jumlah pengeluaran sebanyak 47.8 juta tong berbanding 45.1 juta tong pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh lonjakan dua digit pengeluaran kondensat yang meningkat 18.0 peratus (S3 2025: 9.7 peratus) kepada 17.0 juta tong.

Bagaimanapun, pengeluaran minyak mentah merekodkan penyusutan 1.7 peratus berbanding pertumbuhan 7.0 peratus pada suku ketiga 2025.

Dari segi komposisi, minyak mentah menyumbang 64.4 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala kondensat merangkumi 35.6 peratus.

Sementara itu, pengeluaran gas asli berjumlah 784.0 bilion kaki padu, menguncup 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 11.8 peratus pada suku terdahulu.

Beliau berkata Harga Purata Berwajaran (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat Malaysia susut kepada US$66.1 setong pada suku keempat 2025 berbanding US$71.9 setong pada suku ketiga 2025.

“Penurunan ini sejajar dengan trend penurunan harga global West Texas Intermediate (WTI) dan Brent crude yang masing-masing merosot kepada US$59.6 setong (suku ketiga 2025: US$65.7 setong) dan US$63.6 setong (suku ketiga 2025: US$69.0 setong),” katanya.

Mengulas prestasi perdagangan luar, Mohd Uzir berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2025 berbanding RM5.3 bilion pada S3 2025, sejajar dengan produk petroleum ditapis yang turut mencatatkan kenaikan kecil kepada RM23.9 bilion berbanding RM23.8 bilion pada suku sebelumnya.

Dalam tempoh sama, eksport gas asli cecair (LNG) meningkat kepada RM13.6 bilion berbanding RM12.2 bilion pada suku terdahulu.

Sementara itu, import petroleum mentah dan kondensat menurun kepada RM11.5 bilion pada suku keempat 2025 berbanding RM16.0 bilion pada suku ketga 2025. Produk petroleum ditapis turut merekodkan penyusutan kepada RM22.7 bilion (suku ketiga 2025: RM24.1 bilion).

Bagaimanapun, import LNG meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.3 bilion pada suku sebelumnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan