EKONOMI

OPR Dijangka Kekal Pada 2.75 Peratus Dalam Mesyuarat MPC Esok - Standard Chartered

04/03/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) esok, menurut Standard Chartered Bank.

Standard Chartered menerusi nota penyelidikan hari ini berkata kenyataan dasar monetari pada Januari 2026 menunjukkan bahawa BNM berhasrat untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa, dan tiada isyarat yang menunjukkan bank pusat itu akan menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.

MPC mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada November 2025 dan Januari 2026.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 Malaysia telah disemak semula kepada 6.3 peratus tahun ke tahun daripada 5.7 peratus sekali gus meningkatkan pertumbuhan KDNK tahun penuh bagi 2025 kepada 5.2 peratus, yang melebihi unjuran.

“Pertumbuhan yang lebih kukuh ini boleh menimbulkan persoalan sama ada BNM tidak akan meneruskan penurunan kadar yang dibuat pada Julai 2025,” kata Standard Chartered.

BNM telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus dalam mesyuarat MPC pada 9 Julai 2025.

“Inflasi yang sederhana dan ketidaktentuan luaran yang berterusan boleh menyebabkan bank pusat itu mengekalkan kadar semasa sementara menilai trend pertumbuhan pada suku akan datang.

“Kami akan memberi perhatian sekiranya terdapat perubahan kecil dalam kenyataan rasmi BNM, khususnya bagaimana bank pusat menjelaskan pendirian dasar monetarinya pada Januari 2026 yang disifatkan sebagai ‘bersesuaian dan menyokong.’

"Dengan risiko geopolitik Timur Tengah yang semakin meningkat, pada masa ini kami juga akan meneliti petunjuk sama ada kecenderungan dasar BNM lebih ke arah sokongan pertumbuhan atau kawalan inflasi," katanya.

BNM menerusi kenyataan media mengenai KDNK suku keempat menekankan bahawa tekanan inflasi tidak lagi berlaku secara meluas dalam suku tahun yang sedang dikaji.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan