AM

AEON Bank Perkenal Kemudahan Pembayaran Zakat, Jalin Kerjasama Dengan Tulus Digital

04/03/2026 09:47 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- AEON Bank (M) Bhd (AEON Bank) memperkenalkan kemudahan pembayaran zakat secara digital menerusi aplikasi perbankannya, yang memudahkan pelanggan Muslim menunaikan kewajipan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan.

AEON Bank dalam kenyataan memaklumkan kemudahan itu diperkenalkan melalui kerjasama strategik dengan Tulus Digital, platform teknologi kewangan (fintech) kewangan sosial Islam, yang berperanan sebagai ejen sah kepada pihak berkuasa zakat negeri, termasuk Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

AEON Bank memaklumkan kerjasama itu menyediakan penyelesaian digital menyeluruh yang sah, selamat dan tanpa halangan, yang secara berkesan membawa pembayaran zakat terus ke telefon pintar pelanggan.

“Pengenalan ciri zakat pada aplikasi AEON Bank ini terus memperkukuh rangkaian perkhidmatan utiliti digital bank, dengan mengintegrasikan kewajipan kewangan dan syariah secara lancar dalam satu platform digital yang selamat. Perkhidmatan ini pada masa ini memudahkan pembayaran kepada LZS dan PPZ-MAIWP.

“AEON Bank secara berperingkat akan membolehkan sumbangan kepada pihak berkuasa zakat negeri lain dalam masa terdekat, semuanya sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memperluas penyelesaian kewangan digital yang mudah diakses dan dipercayai berteraskan tadbir urus syariah serta integriti,” menurut kenyataan itu.

Ciri pembayaran zakat itu merangkumi 11 jenis zakat termasuk Zakat Fitrah, Pendapatan, Perniagaan, Emas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menggabungkan Aqad (akad) digital bagi memastikan setiap pembayaran adalah sah dan mematuhi prinsip syariah.

Selepas transaksi berjaya, pelanggan akan menerima resit segera dalam aplikasi, diikuti e-mel pemberitahuan daripada Tulus Digital yang dihantar ke alamat e-mel berdaftar mereka manakala resit rasmi yang layak untuk potongan cukai yang dikeluarkan oleh agensi zakat masing-masing boleh diakses melalui laman web agensi berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata kerjasama dengan Tulus Digital adalah mengenai penggabungan teknologi beretika tepat pada masanya sempena Ramadan, yang membolehkan pelanggan memberi tumpuan menunaikan rukun Islam mereka dengan mudah.

“Di AEON Bank, kami percaya perbankan digital seharusnya lebih daripada sekadar mengurus wang, ia juga perlu menyokong gaya hidup dan nilai anda. Dengan membolehkan ciri zakat dalam aplikasi kami, kami menunaikan amanah untuk menjadikan kewajipan agama yang wajib dilaksanakan dengan mudah dan mungkin tanpa tekanan,” katanya.

Pada masa sama, Pengarah Komersial Tulus Digital Ubaida Othman berkata kerjasama strategik dengan AEON Bank akan memperkukuh ekonomi digital kewangan Islam Malaysia, dengan menggabungkan teknologi beretika, tadbir urus syariah dan inovasi kewangan berteraskan tujuan.

“Fokus utama kami adalah untuk membolehkan pembayaran digital yang selamat berpandukan syariah serta penyelesaian kewangan sosial.

“Tulus Digital menyediakan penyelesaian pembayaran melalui integrasi API selamat, aplikasi mudah alih dan rangkaian pembayaran bertaraf perusahaan, terus ke akaun bank institusi yang memberi perkhidmatan kepada pihak berkuasa zakat negeri, rakan korporat dan institusi kewangan di seluruh Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan