AM

Kumpulan Suria KLCC Menyelami Keindahan Warisan Dan Seni Pada Hari Raya Ini

05/03/2026 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Suria KLCC menganjurkan kempen bermakna sempena Aidilfitri dari 27 Feb hingga 5 April yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia menerusi pemasangan hiasan dengan inspirasi warisan, persembahan tradisional dan aktiviti kebudayaan di seluruh Presint KLCC. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan berkata kempen itu berkolaborasi dengan jenama warisan terkemuka tempatan Sofia Iman, bertujuan mempamerkan identiti warisan budaya Malaysia selain menyokong usaha pelancongan negara. 

“Pada hari raya ini, melalui kolaborasi signifikan bersama Sofia Iman dan naratif Penjaga Warisan, kami bukan sekadar mempamerkan warisan, malah kami sedang memeliharanya. 

“Sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, kami bangga memainkan peranan dalam mempamerkan jiwa budaya Malaysia kepada dunia, memposisikan Presint KLCC sebagai titik sentuh utama bagi pelancong antarabangsa merasai keaslian warisan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Pengasas Sofia Iman Faralina Abdul Wahab berkata kerjasama itu menonjolkan peningkatan penghargaan terhadap interpretasi moden tekstil tradisional seperti songket dan batik. 

“Apa yang kami pamerkan hari ini ialah kemuncak dedikasi selama bertahun-tahun dalam mengekalkan akar budaya. Ini merupakan peluang untuk mempersembahkan kisah kami dan berkongsi artisan serta kraf tangan tempatan dengan khalayak lebih besar,” katanya. 

Sempena kempen itu, aras Centre Court dan Esplanade KLCC telah ditransformasikan menjadi taman bougainvillea yang indah, berpusatkan struktur wakaf Melayu tradisional yang menjadi fokus utama visi perayaan Suria KLCC.

Menghiasi ruang perayaan itu ialah sebuah mahakarya seni, iaitu pemasangan 1,710 meter kain batik cap tangan yang dihasilkan khusus oleh Sofia Iman yang gah merangkumi wakaf tradisional dan struktur hiasan di pusat beli-belah itu. 

Pengunjung juga dapat menyaksikan demonstrasi tenunan songket khas oleh penenun mahir dari Terengganu, artisan warisan yang dibawakan khas ke ibu kota yang turut menampilkan pergerakan ritma alat tenun tradisional atau kek, menunjukkan ketekunan dalam menghasilkan karya tenunan warisan.

Sofia Iman, sebagai sumbangan bermakna dalam kempen tahun ini, mengurasi secara eksklusif rangkaian sentuhan warisan untuk menghubungkan pengunjung dengan jiwa bangsa menerusi permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban selain persembahan gamelan secara langsung. 

Pengalaman itu turut disertai dengan latar belakang foto (photobooth) yang dikurasi untuk kenangan keluarga, tarian zapin serta bengkel interaktif seperti mencanting batik, gubahan bunga raya dan sesi padanan wangian oleh The Body Shop.

Tumpuan utama sambutan ialah filem jenama perayaan Penjaga Warisan yang dirakam melalui lensa dokumentari, memaparkan ketegangan antara kepesatan bandar raya dan ketenangan tradisi di Terengganu.

Selain itu, Kumpulan Suria KLCC juga menganjurkan kempen perayaan serupa di Pusat Beli-Belah Alamanda di Putrajaya dan Mesra Mall di Terengganu. 

Di Alamanda, Centre Court telah menjadi Taman Bougainvillea dengan struktur wakaf yang menampilkan seni bina warisan reka bentuk Melayu dan disinari cahaya keemasan daripada pelita tradisional. 

Pada hujung minggu, pusat beli-belah itu dimeriahkan dengan tarian tradisional Melayu, angklung dan Kuda Kepang serta bengkel kraf tangan untuk kanak-kanak. 

Pusat beli-belah itu juga akan meraikan kanak-kanak dari Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah melalui sesi membeli-belah baju raya, penyampaian duit raya dan majlis berbuka puasa. 

Di Terengganu, Mesra Mall meraikan sambutan hari raya dengan mengangkat seni kraf Pantai Timur menerusi kolaborasi dengan jenama warisan tempatan yang menyaksikan dekorasi utama menampilkan struktur tradisional Melayu dihiasi batik lukis tangan oleh Noor Arfa dan songket eksklusif dari Kompleks Songket Penjara Marang.

Pengunjung juga boleh merasai "jiwa kraf" melalui bengkel mencanting batik dan tenunan songket secara langsung, memberi peluang untuk mengenali teknik rumit yang membentuk identiti budaya Terengganu. 

Pengunjung yang berbelanja dengan jumlah tertentu juga layak untuk menerima ganjaran perayaan termasuk baucar membeli-belah, sampul raya dan hadiah eksklusif sepanjang tempoh kempen. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan