EKONOMI

Johor Catat RM110 Bilion Pelaburan Pada 2025, Pecah Rekod Negara

06/03/2026 06:49 PM

JOHOR BAHRU, 6 Mac (Bernama) -- Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion pada 2025, menjadikannya rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pencapaian itu dijangka mewujudkan 24,584 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk negeri.

Beliau berkata kejayaan ini bukan sekadar satu rekod baharu, malah mencerminkan transformasi struktur ekonomi Johor yang semakin matang dan berdaya saing.

Beliau berkata momentum pertumbuhan itu turut dipacu oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta kedudukan strategik negeri yang berhampiran dengan satu daripada ekonomi paling maju dan dinamik di Asia.

“Menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, atas bimbingan dan kepimpinan yang sentiasa menekankan bahawa kemajuan ekonomi negeri mesti diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap pelaburan yang diluluskan memberi pulangan sebenar kepada rakyat, dengan prinsip bahawa pelaburan mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan lebih baik dan keupayaan rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan infrastruktur strategik, termasuk rangkaian pengangkutan, logistik dan kemudahan awam, dengan sokongan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Johor disokong oleh ekosistem pembangunan yang cekap dan berdaya saing.

Terdahulu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM426.7 bilion pada 2025, pencapaian tertinggi pernah dicatatkan negara, meningkat 11 peratus berbanding RM384.4 bilion pada 2024.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan