KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- 2025 merupakan tahun terbaik Johor selepas ia mencatatkan pertumbuhan dari segi pelaburan langsung asing (FDI), disokong oleh kejayaan pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau semasa berucap di Persidangan Asia pada 2050 anjuran Bank of Thailand dengan kerjasama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata Johor juga berada dalam senarai negeri yang merekodkan pertumbuhan tertinggi dari segi tarikan FDI.
"Kenapa? Kerana kami (Malaysia dan Singapura) membolehkan peluang itu dengan menjadikan sebagai pasaran yang mampu ditangani secara bekerjasama dan lebih besar.
"Dan mereka (Singapura dan Johor) menemui jalan untuk mengurangkan birokrasi. Mereka meneroka kaedah terbaik bagi menarik sesuatu di sepanjang jalan. Saya rasa kerjasama antara negara ini boleh dikembangkan lagi.
"Dan daripada kerjasama antara negara ini, kami mengembangkan lagi kerjasama antara ASEAN, ini akan menjadikan kami lebih baik dan kukuh," katanya pada meja bulat peringkat tinggi bertajuk "Merapatkan Kesemuanya - Cabaran Dasar untuk Asia Bergerak ke Hadapan," yang diadakan di Bangkok, Thailand hari ini.
Amir Hamzah juga berkata zon ekonomi khas itu, yang dilancarkan lebih setahun lalu, adalah pengiktirafan bagaimana Malaysia dan Singapura "bersaing lebih baik secara bersama" berbanding "bersaing untuk merebut FDI secara bersendirian".
Turut membentangkan pandangan mereka di meja bulat peringkat tinggi itu ialah Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Thailand Dr Ekniti Nitithanprapas termasuk Gabenor Bank Pusat Sri Lanka, Dr P Nandalal Weerasinghe.
Johor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun lepas, yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pencapaian itu dijangka mewujudkan 24,584 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Johor.
Katanya, kejayaan itu juga mencerminkan transformasi struktur ekonomi negeri yang semakin matang dan berdaya saing.
JS-SEZ merupakan zon ekonomi rentas sempadan yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia serta Singapura, merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, pelancongan, perkhidmatan global dan ekonomi digital, dengan tumpuan ke arah menarik pelaburan bernilai tinggi selain mewujudkan peluang pekerjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial