EKONOMI

Dasar Konsisten, Mekanisme Sama Perkukuh Pasaran ASEAN, Tarik Pelaburan - Amir Hamzah

06/03/2026 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kekonsistenan dasar dan mekanisme yang sama di seluruh ASEAN boleh membantu mewujudkan pasaran yang lebih terhubung, sekali gus menjadikan blok ini lebih menarik bagi pelaburan modal serta menyediakan asas kestabilan untuk kemajuan masa depan serantau.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata menerima pakai dasar yang sama seperti pengukuran pelepasan karbon yang seragam, instrumen intervensi yang konsisten serta taksonomi yang selaras dalam bidang seperti perubahan iklim akan menjadikan pasaran ASEAN lebih lancar dan saling berkait.

Beliau berkata semua itu membolehkan rantau ini dilihat sebagai satu pasaran tunggal, bukannya sekumpulan negara yang berasingan.

“Dasar yang sama seperti itu akan menarik modal dan menyediakan asas kestabilan bagi ASEAN untuk terus maju pada masa hadapan,” katanya pada Meja Bulat Peringkat Tinggi: Menghimpunkan Segala Aspek- Cabaran Dasar untuk Asia pada Masa Hadapan yang diadakan sempena Persidangan Asia pada 2050 di Bangkok, Thailand.

Acara peringkat tinggi yang dianjurkan oleh Bank of Thailand dengan kerjasama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) itu menghimpunkan kalangan pakar, pembuat dasar dan pemimpin industri dari seluruh rantau ini untuk menggalakkan pertukaran maklumat serta pemikiran inovatif mengenai cabaran dan peluang masa depan rantau ini.

Selain Amir Hamzah, ahli panel persidangan meja bulat itu turut melibatkan Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand Ekniti Nitithanprapas dan Gabenor Bank Pusat Sri Lanka P.Nandalal Weerasinghe.

Beliau berkata ASEAN terdiri daripada negara yang pelbagai dengan populasi 700 juta orang, sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan yang besar.

Amir Hamzah berkata blok ini boleh memperkukuh kerjasama antara negara dengan mengenal pasti titik persamaan dan memberi tumpuan kepada bidang yang tidak menimbulkan kontroversi.

Beliau berkata Grid Tenaga ASEAN sebagai contoh inisiatif yang tidak kontroversi dan menyifatkannya sebagai asas yang saling menguntungkan bagi semua negara anggota

Contohnya, menerusi kerjasama Malaysia-Singapura bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), boleh menggabungkan usaha kedua-dua negara untuk menjadi lebih berkesan berbanding jika bertindak secara bersendirian, katanya.

“Daripada kerjasama antara negara, kita dapat memperkukuh kerjasama antara negara ASEAN, dan seterusnya menjadi lebih baik serta lebih kuat bersama-sama,” katanya.

Amir Hamzah berkata antara cabaran utama ASEAN adalah untuk terus mengikut perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.

“Perubahan teknologi berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas, dan cabaran utama adalah memastikan kita tidak ketinggalan.

“Bagaimana kita dapat memastikan masyarakat tidak terbahagi kepada dua kelompok berbeza, dengan sesetengah kumpulan masyarakat mencapai kemajuan yang jauh lebih baik berbanding kumpulan yang lain?” katanya.

Bagi Malaysia antara keutamaan itu adalah merangka hala tuju masa depan, katanya sambil memaklumkan bahawa negara ini telah menunjukkan prestasi baik dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita telah memulihkan ruang fiskal, kita telah melaksanakan disiplin fiskal dan sebagainya. Bagaimanapun, untuk mencapai tahap seterusnya, kita perlu mentransformasikan semula ekonomi. Ekonomi perlu mempunyai tahap kompleks yang lebih tinggi untuk menambah nilai,” katanya.

Amir Hamzah turut menekankan bahawa generasi muda perlu diberi lebih banyak peluang untuk turut serta dan menyumbang, dengan teknologi berperanan sebagai alat yang mampu merapatkan jurang.

“Persoalan penting pada masa ini adalah bagaimana untuk membolehkan kumpulan masyarakat ini terlibat dalam proses ‘naik taraf’ yang sedang berlaku,” katanya sambil memaklumkan Malaysia akan terus berkembang maju sekiranya perkara itu dilaksanakan dengan baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan