AM

Sultan Nazrin Berkenan Rasmi Masjid Jamek Kampung Jeram

09/03/2026 09:39 PM

KAMPAR, 9 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Masjid Jamek Kampung Jeram di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 7 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. 

Sejurus tiba, baginda berkenan menanam pokok bunga tanjung atau mimusops elengi dan membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan.

Sultan Nazrin kemudian berkenan berbuka puasa bersama dengan lebih 350 jemputan dan menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum berangkat ke majlis santapan diikuti solat isyak serta solat tarawih.

Masjid Jamek Kampung Jeram pada asalnya ialah masjid kayu di Gunung Tunggal, Simpang Keboi sebelum dipindahkan ke tapak sekarang pada tahun 1914 di atas tanah wakaf.

Masjid ini bercirikan seni bina tradisional Melayu dengan bumbung piramid dua tingkat serta menara kecil, dan pada 17 Ogos 1934, ia diwartakan sebagai institusi agama rasmi Mukim Kampar.

Selain itu, ia menjadi pusat pengajian agama dan menerima bekalan elektrik pada Disember 1962.

Bagi menampung pertambahan jemaah, masjid baharu dibina pada tahun 1982 bersebelahan masjid lama, dan bangunannya memiliki struktur konkrit moden, menara serta ruang solat lebih luas.

Kubahnya diinspirasikan daripada reka bentuk Masjid Negara berbentuk payung separa terbuka manakala masjid lama terus dipelihara sebagai bangunan warisan, melambangkan kesinambungan sejarah Masjid Jamek Kampung Jeram sebagai pusat ibadah dan penyatuan masyarakat setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan