AM

RM1 Juta Bina Bazar Usahawan Masjid, Perkasa Ekonomi Komuniti Di Papar

07/03/2026 11:06 PM

PAPAR, 7 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membina Bazar Usahawan Masjid di Masjid Jamek Haji Said Derun, Kampung Malagui Kelatuan di sini, yang bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 20 usahawan mikro tempatan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata projek strategik di bawah Program Pembangunan Premis Tamu Desa itu akan dilaksanakan UDA Holdings.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen Kementerian Pembangunan Ushawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam mengangkat martabat penjaja kecil melalui penyediaan premis yang lebih teratur dan sistematik di kawasan luar bandar.

"Saya mahu projek ini disegerakan agar komuniti usahawan kariah masjid dapat menikmati faedah pembangunan ini lebih awal," katanya berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bazar Usahawan Masjid berkenaan di sini hari ini.

Bagi memastikan kelestarian pengurusan, Mohamad turut menyarankan penubuhan Koperasi Kariah Masjid untuk menguruskan bazar itu secara profesional dengan bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama strategik KUSKOP bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membabitkan penggunaan tanah wakaf masjid membuktikan sinergi antara agensi kerajaan dan institusi agama demi kemaslahatan komuniti.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai berjumlah RM50,000 kepada 500 asnaf di kawasan berkenaan.

Selain itu, lapan masjid dan 38 surau turut menerima sumbangan dengan nilai keseluruhan RM84,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti pengimarahan serta memastikan penyelenggaraan infrastruktur berada di tahap terbaik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan