DUNIA

Menteri Luar Iran Tolak Rundingan Dengan AS Selepas “Pengalaman Sangat Pahit”

10/03/2026 10:20 AM

HAMILTON (Kanada), 10 Mac (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Isnin menolak kemungkinan berunding dengan Amerika Syarikat (AS) selepas apa yang disifatkannya sebagai “pengalaman yang sangat pahit”, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam temu bual dengan PBS News, Araghchi menjawab soalan sama ada Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei akan bersikap terbuka terhadap rundingan semula atau gencatan senjata, dengan menyatakan bahawa “masih terlalu awal untuk beliau memberi sebarang komen”.

“Namun, saya tidak fikir persoalan untuk bercakap atau berunding dengan Amerika Syarikat sekali lagi akan dibincangkan kerana seperti yang anda tahu, kami mempunyai pengalaman yang sangat pahit dalam rundingan dengan mereka,” katanya, sambil merujuk konflik selama 12 hari pada Jun tahun lepas apabila tentera Israel dan AS menyasarkan kemudahan nuklear Iran ketika rundingan antara Tehran dan Washington sedang berlangsung.

Merujuk pusingan terbaharu rundingan nuklear AS-Iran yang berakhir di Geneva pada akhir Februari, yang menyaksikan kedua-dua pihak menyifatkan suasana sebagai serius dan konstruktif di bawah pengantaraan Oman, Araghchi berkata: “Namun sekali lagi, selepas tiga pusingan rundingan, dan selepas pasukan Amerika dalam rundingan itu menyatakan bahawa kemajuan besar telah dicapai, mereka tetap memutuskan untuk menyerang kami.”

“Jadi saya tidak fikir rundingan dengan AS akan lagi berada dalam agenda kami,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa pemilihan pemimpin baharu itu merupakan satu bentuk “kesinambungan” penentangan terhadap AS dan Israel.

Mengenai gangguan bekalan minyak yang meluas, menteri Iran itu memberitahu PBS News bahawa “ini bukan salah kami. Ini bukan rancangan kami”.

Beliau berkata pengeluaran dan pengangkutan minyak menjadi perlahan “disebabkan serangan dan pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan AS terhadap kami”, sambil menegaskan bahawa serangan itu “telah menjadikan seluruh rantau ini tidak selamat”.

“Inilah sebabnya kapal tangki dan kapal-kapal takut untuk melalui Selat Hormuz,” katanya sambil menegaskan bahawa Iran tidak menutup selat berkenaan.

Araghchi turut menyalahkan Israel dan AS kerana menjadikan “seluruh rantau itu tidak selamat dan tidak stabil”.

“Kesannya amat besar bukan sahaja kepada kami, tetapi juga kepada seluruh rantau Asia Barat, dan kini kepada komuniti antarabangsa,” tambahnya.

Apabila ditanya sama ada strategi Iran adalah untuk mengehadkan bekalan minyak melalui serangan terhadap kemudahan minyak di rantau itu, beliau mendakwa tindakan Iran hanyalah untuk mempertahankan diri.

“Kami berdepan dengan tindakan pencerobohan yang jelas menyalahi undang-undang, dan apa yang kami lakukan adalah tindakan mempertahankan diri yang sah,” katanya.

Sambil menyatakan bahawa Tehran telah “pun memberi amaran kepada semua pihak di rantau itu”, beliau menjelaskan bahawa “jika AS menyerang kami, memandangkan kami tidak dapat sampai ke tanah besar Amerika, kami terpaksa menyerang pangkalan mereka di rantau ini, kemudahan mereka, pepasangan mereka serta aset mereka”.

“Dan akibatnya, perang itu akan merebak ke seluruh rantau ini,” katanya sambil menambah: “Kami tidak bertanggungjawab terhadap perkara itu.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan