AM

PTPTN, Royale Chulan Santuni Insan Memerlukan Melalui Program Raikan Syawal 2026

11/03/2026 01:38 PM

PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisi menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan menganjurkan Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf 2026, bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang pada bulan Ramadan.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resort Datuk Rosthman Ibrahim serta Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Norliza berkata program yang dimulakan sejak 2016 itu adalah antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN sebagai menjadi platform untuk berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim serta golongan asnaf agar mereka turut merasai kegembiraan dan kemeriahan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri akan datang.

“Melalui program ini, PTPTN komited dalam memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam masyarakat. Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan sambutan Hari Raya para penerima, sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis itu, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan memupuk budaya menabung sejak awal sebagai persediaan demi masa depan pendidikan yang lebih terjamin.

Norliza berkata pogram yang dilaksanakan dengan kerjasama Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia itu diserikan dengan dua aktiviti utama iaitu membeli-belah baju raya dan berbuka puasa. 

Beliau berkata aktiviti membeli-belah baju raya telah diadakan pada sebelah pagi di Jakel Mall Kuala Lumpur, melibatkan 100 penerima terdiri daripada anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh dan Pertubuhan Kebajikan dan Pusat Jagaan Kasih Ehsan Sejati.

“Setiap penerima menerima set pakaian hari raya bernilai RM200 dan kuih raya bernilai RM40 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan PTPTN bernilai RM24,000,” katanya.

Sementara itu, pihak Royale Chulan Hotels and Resorts Malaysia pula menyediakan juadah berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada 100 orang anak yatim dan asnaf melalui pembukaan akaun Simpan SSPN Prime, dengan setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM50.

Rosthman berkata program yang dijalinkan bersama PTPTN itu, adalah sebahagian daripada komitmen Royale Chulan Hotels and Resorts untuk mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Kerjasama bersama PTPTN ini amat kami hargai kerana ia membawa semangat memberi dan berkongsi, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Bagi kami, Royale Chulan bukan sekadar menyediakan bilik atau ruang acara, tetapi mencipta ruang kebersamaan dan kegembiraan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan