AM

Ibu Tunggal Terharu Terima Bantuan Ramadan, Mahu Ceriakan Anak Sambut Aidilfitri

11/03/2026 03:30 PM

PENAMPANG, 11 Mac (Bernama) -- Senyuman jelas terpancar pada wajah seorang ibu tunggal selepas beliau menerima bantuan Ramadan pada program anjuran beberapa badan bukan kerajaan di sini.

Effashaerra Mastan, 26, berkata bantuan wang tunai dan bakul makanan itu membolehkan beliau menunaikan hasrat untuk menghadiahkan keceriaan Aidilfitri kepada anak perempuannya yang berumur lapan tahun.

Effashaerra berkata beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu dan menyifatkan sumbangan itu sebagai rahmat bagi meringankan beban perbelanjaan membuat persiapan lebaran pada tahun ini, terutama membeli baju baharu untuk anak perempuannya itu.

“Tentunya gembira kerana sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban untuk persiapan. Lagipun sudah mahu dekat hari raya. Jadi, ada bantuan ini dapatlah belikan anak saya baju raya.

“Anak pun sudah balik-balik bertanya bila mahu beli baju raya,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Iftar dan Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf, anak yatim serta ibu tunggal malam tadi.

Effashaerra antara 66 penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang menerima sumbangan pada program anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah berkenaan.

Program kali ketiga hasil kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid dan sektor korporat itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Seorang lagi penerima Flovian Toingi, 36, pula tidak menyangka terpilih sebagai antara penerima sumbangan pada program itu, sekali gus menzahirkan penghargaan kerana bantuan berkenaan membolehkan beliau membeli kelengkapan persekolahan untuk empat anaknya yang berkeperluan khas.

“Empat anak saya ada masalah pendengaran dan pertuturan sejak lahir lagi. Terima kasih atas bantuan ini dan saya fikir mahu beli keperluan pembelajaran dan peralatan sekolah mereka seperti kasut serta beg,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Dr Abdul Rashid Hassan berkata antara objektif utama program itu adalah menyantuni seluruh lapisan masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan yang konsisten.

Beliau berkata usaha murni itu akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap komuniti yang memerlukan mendapat perhatian sewajarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan