KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan meneliti cadangan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata hasil perbincangan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa depan.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meminta KSN dan KPPA meneliti cadangan bekerja dari rumah untuk pastikan beberapa perkara terselaras untuk sektor awam," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Khas mengenai impak konflik di Asia Barat, di Putrajaya hari ini.
Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Semalam, Wan Ahmad Dahlan dilaporkan berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina telah mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid susulan konflik di Asia Barat.
Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri turut mengarahkan semua kementerian untuk mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri di bawah kementerian masing-masing bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mengenai kesan yang dirasai akibat konflik tersebut.
Beliau berkata hasil daripada sesi berkenaan juga akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, Selasa depan.
“Wakil-wakil industri juga akan dijemput untuk membuat pembentangan bagi pihak industri masing-masing pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan datang,” katanya.
Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Feb lepas apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.
Ketegangan itu turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terganggu susulan ancaman serta tindakan Iran menghalang laluan kapal di kawasan berkenaan.
Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial