BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 EKONOMI

Rakuten Trade Unjur FBM KLCI 2026 Pada 1,800 Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Global

13/03/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Rakuten Trade menyemak semula unjuran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,800 untuk 2026 daripada 1,810 sebelum ini berikutan ketidaktentuan yang masih membelenggu pasaran. 

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata prestasi pasaran sebahagian besarnya akan bergantung kepada tempoh perang Amerika Syarikat (AS)–Iran serta kesannya terhadap harga minyak mentah.

“Walaupun Donald Trump yakin ia (perang) akan berlangsung dalam tempoh yang singkat, kami percaya perang ini akan menjadi lama. Saya menjangkakan perang ini akan berlarutan.

“Berapa lama (perang)? Tiada siapa yang tahu, tetapi sudah tentu ia bukan perang yang berlangsung satu atau dua bulan; tempohnya akan lebih lama daripada itu,” katanya dalam taklimat media secara maya berhubung prospek pasaran bagi suku kedua 2026 hari ini.

Yee berkata sama ada AS akan memperlahankan atau menghentikan tindakan perangnya masih belum dapat dipastikan, memandangkan perang itu dianggarkan menelan kos sebanyak US$1 bilion sehari.

“Jika berlarutan, kami menjangkakan harga minyak mentah Brent akan melonjak melepasi paras US$100 setong, yang akan memudaratkan perkembangan ekonomi global.

“Sehubungan itu, kami percaya pasaran Asia akan menyaksikan senario turun naik yang tinggi di mana trend pasaran kerap terhenti sebelum kembali bergerak atau berubah arah sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang,” katanya.

Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, menjejaki penurunan semalaman di Wall Street selepas pemimpin tertinggi baharu Iran memberi isyarat yang Selat Hormuz akan terus ditutup.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.82 mata atau 0.63 peratus, kepada 1,700.19 daripada 1,711.01 ketika ditutup pada Khamis.

Mengulas mengenai aliran dana asing sejak awal tahun sehingga kini (YTD), Yee berkata trend itu agak kukuh dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM1.28 bilion.

“Setakat ini, kedua-dua institusi tempatan dan dana asing telah melakukan tugas yang baik dan memainkan peranan penting dalam menyokong indeks sehingga ke paras semasa.

“Bagaimanapun, apabila dilihat dari segmen runcit, keadaannya masih teruk dengan aliran keluar dana yang berterusan,” katanya.

Yee juga menjangkakan pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia akan meningkat kepada 7.9 peratus tahun ini, terutamanya disebabkan asas yang lebih rendah pada 2025, sambil memperkenalkan unjuran pertumbuhan pendapatan sebanyak 6.5 peratus untuk 2027.

Bagi 2026, beliau menjangkakan pegangan saham asing akan bertambah baik antara paras ambang 25 dan 30 peratus.

“Saya percaya kekuatan ringgit berbanding dolar AS akan menjadi pemangkin utama untuk menarik kembali dana asing ke pasaran.

“Pada masa hadapan, kami menjangkakan ringgit bergerak antara julat 3.80 hingga 3.90 berbanding dolar AS, berikutan ekonomi AS yang semakin perlahan yang mungkin mendorong lebih banyak penjualan aset berdenominasi dolar AS,” tambahnya.

Mengenai prospek mengikut sektor, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakutan Trade Thong Pak Leng berkata bagi sektor automotif, pihaknya menjangkakan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 750,000 unit pada 2026, berikutan sentimen pengguna yang melemah dan tekanan inflasi yang berterusan.

“Bagi sektor perbankan, kami menjangkakan pendapatan kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan pinjaman dijangka sekitar lima peratus, disokong oleh kadar dasar semalaman yang stabil pada 2.75 peratus dan margin faedah bersih yang mantap sekitar 2.1 peratus,” katanya.

Dalam sektor minyak dan gas, Thong berkata harga minyak mentah Brent telah melonjak melebihi US$100 setong, dengan berpotensi mencapai US$150 setong sekiranya Selat Hormuz, yang mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global terus ditutup.

“Kami percaya syarikat yang banyak bergantung kepada harga minyak mentah atau yang menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pengangkutan penting akan menjadi antara penerima manfaat utama,” katanya.

Bagi sektor perladangan, beliau menjangkakan harga minyak sawit mentah mencapai purata RM4,500 satu tan pada suku kedua 2026, berikutan lonjakan harga komoditi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan