BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 AM

Kerajaan Selangor Usaha Tambah Baik Isu Kehamilan Luar Nikah, Anak Tidak Sah Taraf

13/03/2026 06:29 PM

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha menambah baik pendekatan menangani isu kehamilan luar nikah dan anak tidak sah taraf melalui sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD), dengan memberi tumpuan kepada kebajikan serta perlindungan kanak-kanak.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata sesi perbincangan anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu bertujuan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi kerajaan bagi menambah baik prosedur sedia ada.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan ialah cabaran dalam proses pendaftaran anak tidak sah taraf yang boleh memberi kesan kepada akses mereka terhadap pendidikan, kesihatan dan dokumen rasmi.

“Perbincangan ini lebih kepada mencari pendekatan yang dapat memastikan kebajikan kanak-kanak serta ibu yang terlibat terus terpelihara,” katanya kepada media selepas selesai sesi RTD Siri 1: Hamil Luar Nikah dan Anak Tak Sah Taraf: Penambahbaikan Prosedur, Tatacara dan Garis Panduan Mahkamah Syariah.

Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, turut dihadiri Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah. 

Anfaal berkata perbincangan itu merumuskan beberapa resolusi termasuk cadangan memperkukuh sistem rujukan antara agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan pengurusan kes.

Beliau berkata resolusi itu turut mencadangkan penyediaan sokongan psikososial serta program pemulihan bagi membantu ibu dan anak yang memerlukan.

“Perbincangan tersebut turut menyentuh kepentingan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat, termasuk peranan institusi keluarga serta komuniti dalam mencegah isu sosial melibatkan remaja,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Faridah Abdul Samad berkata sesi RTD itu merupakan siri pertama ke arah penganjuran Gender Forum yang dijadualkan berlangsung September depan.

Beliau berkata resolusi yang dirumuskan akan diperhalusi sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Resolusi yang dirumuskan daripada sesi RTD itu akan diserahkan kepada Exco Agama Islam Selangor sebelum dipertimbangkan untuk dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas dan seterusnya dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan