KUALA NERUS, 14 Mac (Bernama) -- Polis menahan 22 peniaga dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM15,000 dalam operasi di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sepanjang Ramadan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kesemua peniaga berusia 22 hingga 59 tahun itu ditahan kerana menjual mercun dan bunga api tanpa permit.
"Walaupun kita telah mengeluarkan 215 permit menjual mercun dan bunga api untuk sambutan Aidilfitri, masih ada yang mengambil kesempatan menjual barangan tersebut tanpa lesen yang sah.
“Sebahagian daripada mereka (peniaga) telah didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya kepada pemberita pada Program Agihan Lauk Ramadan di Gong Badak, dekat sini hari ini.
Sebanyak 1,000 pek juadah berbuka puasa diagihkan secara percuma kepada pengguna jalan raya dengan kerjasama sebuah restoran.
Dalam pada itu Azli berkata pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak membakar mercun dengan sewenang-wenangnya di tempat awam terutama di sekitar Jambatan Angkat, Pantai Seberang Takir dan Batu Buruk.
Beliau berkata tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, bahaya atau kesusahan kepada orang ramai serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai atau melulu dalam mengendalikan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa.
"Susulan aduan oleh orang ramai, saya telah arahkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan (URB) agar membuat kawalan dan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti.
"Saya juga minta ibu bapa supaya pantau aktiviti anak-anak yang bermain mercun sebelum berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran atau kecederaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial