JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Rampas Minuman Keras, Tumpas Sindiket Proses Bir Haram

16/03/2026 01:00 PM

PETALING JAYA, 16 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur merampas minuman keras tidak berkastam dianggarkan bernilai hampir RM400,000 menerusi penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, baru-baru ini.

Pengarah JKDM Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata rampasan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan dalam operasi Ops Petasan pada 9.30 malam 11 Feb.

“Pemeriksaan terhadap kontena bersaiz 40 kaki itu menemukan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dengan anggaran kuantiti 4,552.52 liter yang bernilai RM380,524.16 termasuk duti dan cukai,”  katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Wan Norizan berkata pengimportan minuman keras memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Dalam kes berasingan, beliau berkata JKDM Kuala Lumpur mematahkan sindiket pemprosesan dan pembotolan bir secara haram dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam dekat sini pada 3.30 petang 6 Feb.

“Serbuan hasil maklumat awam itu mendapati premis tersebut digunakan untuk menjalankan aktiviti pemprosesan serta pembotolan minuman keras tiruan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut menemukan peralatan pemprosesan dan pembotolan serta minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam dengan anggaran kuantiti 703.3 liter melibatkan nilai serta duti atau cukai dianggarkan RM208,594.24,” katanya.

Wan Norizan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976, iaitu kesalahan mengambil bahagian menyuling, menapai atau mengilang barang berduti.

Beliau berkata JKDM menggesa orang ramai membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

Maklumat berkaitan aktiviti itu boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat JKDM terdekat dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan