AM

PJRM Terus Jadi Pilihan Sempena Aidilfitri

16/03/2026 03:46 PM

IPOH, 16 Mac (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) terus menjadi pilihan orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Peniaga Khairul Azhar Zakaria, 36, berkata membeli pelbagai barangan keperluan seperti ayam, daging, ikan dan barangan lain kerana harganya jauh lebih murah berbanding di kedai atau pasar raya.

“Barangan basah yang dibeli kira-kira RM140 manakala barangan kering RM120. Memang sangat membantu, lebih-lebih lagi menjelang raya,” katanya ketika ditemui pada PJRM sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.

Sementara itu, Zaid Zakaria, 35, berkata kerap mengunjungi program tersebut kerana perbezaan harga yang ketara berbanding pasaran biasa.

Zaid berkata membelanjakan lebih RM200 untuk barangan basah manakala barangan kering pula dibeli pada harga kurang RM100.

“Terima kasih kerajaan kerana membantu rakyat. Ada barang yang murah sehingga 40 hingga 50 peratus dan bekalan juga mudah diperoleh di sini (PJRM) berbanding kedai biasa,” katanya.

Penuntut institut pengajian tinggi Nabilah Insyirah Mohd Noordin, 22, dari Chepor berkata datang ke program itu dengan ibunya untuk membeli barangan bagi persiapan rumah terbuka sempena Aidilfitri.

Antara barangan yang dibeli termasuk beras, ayam dan barangan kering.

“Alhamdulillah, memang banyak membantu kerana kalau beli di kedai, harganya lebih mahal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata sebanyak 266 PJRM dilaksanakan di negeri itu sepanjang Aidilfitri dari 16 Mac sehingga 19 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan