KUANTAN, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengumpulkan lebih 3,400 kilogram pelbagai jenis lebihan makanan bernilai hampir RM45,000 menerusi pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB).
Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata makanan dari bazar Ramadan terpilih itu diserahkan kepada masjid, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, golongan asnaf, anak-anak yatim dan individu memerlukan.
Beliau berkata inisiatif dari 23 Feb hingga 14 Mac antara lain bertujuan mengelakkan pembaziran dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
“Menerusi usaha ini kami percaya ramai menerima manfaat dengan KPDN menumpukan penerima daripada isi rumah berpendapatan rendah, golongan asnaf dan anak yatim selain pelajar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Jezlily memaklumkan lima bazar Ramadan terpilih sebagai tempat pengumpulan i-FB ialah bazar Ramadan Pantai Selamat dan Mahkota Square di sini selain Taman Tasik (Pekan), Kuala Lipis (Lipis) dan Muadzam Shah (Rompin).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata i-FB bukan sahaja berperanan sebagai program bantuan makanan, tetapi turut menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar.
Armizan berkata berdasarkan data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.
Program itu juga menekankan usaha menyemarakkan nilai ihsan dalam masyarakat untuk bersama-sama dalam gerakan menyantuni komuniti, khususnya golongan rentan dan kumpulan sasar dalam menyalurkan bantuan makanan melalui bank makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial