AM

MySaveFood: Lebih 2.5 Tan Makanan Diselamatkan, Manfaat 4,000 Penerima

17/03/2026 01:33 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mac (Bernama) -- Lebih 2.5 tan makanan lebihan yang elok dan selamat dimakan berjaya diagihkan semula kepada hampir 4,000 penerima di seluruh Johor menerusi program MySaveFood di bazar Ramadan seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp)  Datuk Mizan Yahya berkata inisiatif itu melibatkan pengumpulan makanan tidak terjual dari bazar Ramadan di beberapa daerah termasuk Johor Bahru, Kulai, Segamat, Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Renggam.

“Makanan ini diagihkan kepada golongan asnaf serta komuniti B40 termasuk penduduk di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Langkah ini bukan sahaja memastikan makanan lebihan dimanfaatkan sepenuhnya, malah membantu meringankan beban golongan memerlukan di samping memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengurus sumber makanan secara berhemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mizan berkata pembaziran makanan bukan sekadar isu alam sekitar, malah menuntut perubahan sikap masyarakat dan melalui program itu, makanan lebihan yang elok dimanfaatkan sebaiknya supaya tidak berakhir sebagai sisa.

Beliau berkata kejayaan menyelamatkan makanan dalam jumlah besar itu membuktikan kerjasama pelbagai pihak mampu menghasilkan impak signifikan kepada masyarakat dan alam sekitar.

Selain pengagihan makanan, program itu turut berperanan mendidik orang ramai dan peniaga bazar mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan, khususnya ketika permintaan meningkat sepanjang Ramadan.

Beliau berkata bagi memastikan pengurusan lebih sistematik, inisiatif itu turut menggunakan aplikasi mudah alih bagi merekod jumlah makanan dikumpulkan, mengkategorikan jenis makanan serta menjejak proses agihan kepada penerima.

Program MYSaveFood di Johor dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan JCorp, Pemuda Gema Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor dengan sokongan sukarelawan termasuk Gerakan Pengguna Siswa serta beberapa syarikat berkaitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan