JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Abu Mayat Hilang: Xiao En Semak Prosedur, Bekerjasama Dengan Polis

18/03/2026 12:38 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Xiao En, pengendali taman peringatan di Malaysia telah memulakan semakan dalaman dan memperkukuh prosedurnya susulan insiden melibatkan kehilangan bekas simpanan abu mayat, baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu membuat laporan polis selepas mendapati beberapa bekas simpanan abu mayat itu tiada di tempat simpanan asalnya.

Syarikat berkenaan memaklumkan semua ahli keluarga yang terlibat telah dihubungi dan diberitahu tentang keadaan itu, di samping memberikan bantuan termasuk mengiringi mereka untuk membuat laporan polis dan mengatur tindakan susulan.

 "Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai siasatan jenayah, dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya," menurut kenyataan itu yang turut berterima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka.

Syarikat itu memaklumkan kes berkenaan mungkin dikaitkan dengan kumpulan jenayah rentas sempadan, dengan siasatan sedang dijalankan.

Langkah segera juga diambil untuk menyemak dan memperkukuh proses pengurusan dan keselamatan bagi mencegah kejadian serupa.

"Kami akan terus membantu dalam usaha mencari bekas yang hilang," menurut kenyataan itu.

Pihak Xiao En turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Terdahulu, polis menahan empat individu berkaitan kehilangan 22 bekas simpanan abu mayat di sebuah taman peringatan di Johor, dipercayai kes kecurian untuk dijual semula.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan