Oleh Siti Fauziah Hasan
SEREMBAN, 19 Mac (Bernama) -- Kuih tradisional tidak lagi terikat dengan resipi warisan semata-mata, sebaliknya kini melalui transformasi kreatif bagi memastikan ia terus relevan dan memikat selera merentas generasi.
Pengasas Bahulu Sendeng Siti Suhana Mohd Daralsalam, 42, membuktikan inovasi mampu menjadi nadi kepada kelangsungan makanan warisan apabila beliau memperkenalkan 13 perisa baulu moden termasuk nutella, coklat, pandan, strawberi dan red velvet.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja mengekalkan identiti asal kuih berkenaan, malah berjaya memikat hati golongan muda, khususnya kanak-kanak dan remaja untuk membeli Bahulu Sendeng yang dijual pada harga RM12 dan RM15 sekotak bagi 20 biji perisa moden manakala RM10 bagi perisa asli.
Berkongsi kepada Bernama, ibu kepada tiga anak itu berkata idea untuk mempelbagaikan perisa tercetus daripada hasratnya untuk menarik lebih banyak pelanggan, sekali gus mengangkat martabat makanan tradisional agar terus relevan.
“Pada awalnya, saya hanya jual satu perisa dan kebanyakannya dibeli golongan berusia. Jadi, saya fikir perlu ada kelainan dan perlu dipelbagaikan, sebab itu saya buat perisa pandan dan tengok sambutan agak menggalakkan sebelum tambah variasi sehingga kini mencecah 13 perisa.
“Saya lihat ia berjaya menarik pelanggan baharu dengan banyak dalam kalangan generasi muda menjadi pelanggan tetap dan ada yang membeli beberapa kotak dalam satu masa untuk mencuba pelbagai perisa,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Setia Jaya baru-baru ini.
Anak jati Seremban itu berkata perniagaan yang dibantu oleh suaminya Mohd Shahrizat Rahim, 46, itu bermula pada 2017 dengan menjual bertih jagung sebelum beralih kepada baulu sebagai produk utama sejak dua tahun lepas.
“Ketika itu perniagaan bertih jagung memang baik tetapi saya beranggapan produk itu hanya mampu bertahan lima tahun, jadi saya bersedia memperkenalkan menu baulu,” katanya sambil menambah nama ‘Sendeng’ diambil sempena lokasi kedai berhampiran Masjid Jamek Dato' Kelana Petra Sendeng di sini.
Siti Suhana berkata pada peringkat awal, beliau hanya menggunakan dua ketuhar, namun kini memiliki lapan ketuhar bagi menampung permintaan yang meningkat, terutama pada hujung minggu dengan jualan mampu mencecah kira-kira 300 kotak sehari dan pendapatan mencecah sehingga RM3,000.
“Dalam sebulan, jualan boleh cecah sekitar RM40,000 manakala ketika perayaan pula boleh dapat kira-kira RM80,000,” katanya, sambil menambah nutella dan red velvet menjadi perisa yang paling mendapat sambutan.
Siti Suhana ketika bercerita lebih lanjut mengenai keunikan Bahulu Sendeng berkata ia terletak pada tekstur lembut serta proses pembakaran selama 15 minit sebelum dijual kerana pihaknya tidak menyimpan stok bagi memastikan setiap produk dijual dalam keadaan panas dan segar, selari dengan komitmen terhadap kualiti.
Beliau berkata produk keluarannya turut dipasarkan di beberapa pasar raya terpilih, selain aktif menyertai pelbagai program keusahawanan seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
Meskipun berdepan cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah serta persaingan sengit dalam industri, beliau tetap komited mengekalkan harga mampu milik bagi memastikan produk mampu dibeli pelanggan.
Siti Suhana berkata baulu itu dihasil menggunakan teknik tersendiri selain turut mendapatkan ilmu daripada beberapa tenaga pengajar serta kaedah cuba jaya bagi mendapatkan resipi terbaik.
Beliau berhasrat mewujudkan pusat sehenti baulu sebagai ikon makanan Negeri Sembilan yang wajib dicari pengunjung sambil berharap inovasi yang dilakukan mampu memberi nafas baharu kepada kuih tradisional agar terus relevan dan digemari generasi akan datang.
Seorang pelanggan, Lydia Hendroff, 51, berkata beliau yang menetap di kawasan itu sering melalui kedai Bahulu Sendeng, namun baru berkesempatan untuk membeli baulu berkenaan.
“Ini kali pertama saya nak beli kerana tertarik untuk mencuba kerana ada banyak pilihan perisa, saya tak pernah temui baulu dengan variasi sebanyak ini, saya juga mahu hadiahkan kepada rakan untuk sama mencubanya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial