JENAYAH & MAHKAMAH

15 Julai Ditetapkan Pendengaran Permohonan Kebenaran Merayu Keluarga Altantuya

19/03/2026 05:40 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 Julai depan untuk mendengar permohonan difailkan oleh keluarga warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaaribuu, bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam saman sivil berhubung kematian model itu pada 2006.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan susulan pengurusan kes yang diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Norazimin Kassim hari ini.

Peguam Abraham Au yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda mengesahkan tarikh pendengaran tersebut ketika dihubungi Bernama.

Keluarga Altantuya memfailkan permohonan itu pada 19 Feb lepas bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi diberikan kepada keluarga itu daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta dalam saman sivil difailkan terhadap Abdul Razak, dua anggota polis serta kerajaan.

Pada 20 Jan lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) terhadap tindakan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

Keluarga Altantuya telah memfailkan saman berjumlah RM100 juta pada 2007, dengan mendakwa bahawa kematiannya menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman difailkan keluarga Altantuya, dan  mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta secara bersama.

Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009 kerana membunuh Altantuya di Shah Alam antara 19 hingga 20 Okt 2006.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap mereka selepas mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu.

Pada Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan Azilah dan menukar hukuman mati kepada penjara 40 tahun.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 24 Feb, peguam keluarga berkenaan, Sangeet Kaur Deo berkata mereka memohon Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan beberapa persoalan undang-undang yang timbul daripada prosiding sivil tersebut, termasuk berkaitan skop liabiliti vikarius kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan