JENAYAH & MAHKAMAH

Penjawat Awam Rugi RM160,000 Terperdaya Skim Pelaburan Tidak Wujud

20/03/2026 12:06 PM

KUANTAN, 20 Mac (Bernama) --  Seorang penjawat awam kerugian lebih RM160,000 akibat terperdaya sindiket pelaburan tidak wujud setelah berkenalan dengan seorang wanita melalui media sosial, awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Maran Superintenden Wong Kim Wai berkata suspek menawarkan peluang pelaburan selepas sebulan berkenalan menerusi Facebook dan mendakwa dirinya mampu membantu dalam urusan pengeluaran keuntungan.

“Pada peringkat awal, mangsa menerima pulangan RM2,000 sebelum suspek terus meminta bayaran tambahan termasuk RM57,000 dan RM10,000 dengan pelbagai alasan tanpa sebarang pulangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga serta bank telah melakukan lapan transaksi ke lima akaun syarikat dari 12 Feb hingga 4 Mac. 

“Sepanjang tempoh itu, mangsa hanya berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan panggilan video selain nombor kad pengenalan diberikan wanita itu disyaki palsu,” katanya. 

Wong berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap kenalan dalam talian yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan dalam masa singkat.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan