AM

Aidilfitri 2026 Tidak Sama Seperti Dahulu Bagi Keluarga Malaysia Di Bahrain

20/03/2026 12:38 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 20 Mac (Bernama) -- Sambutan Aidilfitri tahun ini jelas berbeza bagi sebuah keluarga Malaysia yang menetap di Bahrain, apabila ketegangan dan letupan berterusan berhampiran beberapa lokasi penting di negara itu telah menjejaskan perancangan perayaan mereka.

Muhamad Nizam Shaidon, 43, yang tinggal dan bekerja di Bahrain hampir 11 tahun, berkata keadaan tersebut telah mengubah kebiasaan keluarganya dalam menjalani Ramadan dan membuat persiapan hari raya. 

Beliau tinggal di negara rantau Teluk itu bersama isterinya, Norhani Aida Mohd Nor, 42, serta dua anak perempuan mereka yang masing-masing berusia 10 dan 13 tahun.

“Kami terpaksa sentiasa waspada dengan bunyi siren dan memantau maklumat rasmi terkini demi kekal selamat. Ini membuatkan suasana Ramadan dan hari raya pada tahun ini sangat berbeza,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pihak berkuasa agama di Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait telah mengumumkan 1 Syawal disambut hari ini (Jumaat).

Dalam pada itu, Nizam berkata letupan kuat terus kedengaran di beberapa kawasan, termasuk berhampiran pangkalan tentera Amerika Syarikat di Juffair serta kemudahan strategik lain.

Insiden terkini termasuk serangan dron ke atas sebuah loji penyahgaraman air, kebakaran besar di kemudahan penyimpanan bahan api di Muharraq, serta kerosakan di kawasan perumahan berdekatan.

“Letupan tersebut jelas kedengaran dari tempat kami tinggal, kadangkala didahului oleh bunyi menyerupai dron,” katanya, sambil menambah beberapa serangan yang masuk telah dipintas oleh Angkatan Pertahanan Bahrain.

Walaupun berlaku insiden tersebut, beliau berkata pihak berkuasa memberi jaminan bahawa bekalan keperluan asas kekal stabil, tanpa gangguan kepada makanan, air atau elektrik.

Nizam berkata secara keseluruhan keadaan masih terkawal, dengan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

“Pusat beli-belah masih dibuka dan orang ramai tetap keluar untuk membuat persiapan raya, manakala masjid terus dibuka dengan langkah berjaga-jaga,” katanya.

Demi menjamin keselamatan, Nizam dan keluarganya juga telah berpindah sementara ke sebuah hotel yang diatur oleh majikannya dan beliau meneruskan kerja tanpa perlu ke pejabat. 

“Anak-anak mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan kami cuba meminimumkan pergerakan,” katanya sambil menyatakan kebiasaan mereka sekeluarga akan pulang ke kampung halamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur untuk menyambut Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, berikutan ketegangan yang semakin memuncak keluarga tersebut memutuskan untuk tidak melakukan sebarang perjalanan buat masa ini apatah lagi operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain turut terjejas susulan penutupan ruang udara.

“Kebiasaannya kami akan pulang ke tanah air untuk menyambut raya tetapi kali ini kami memilih untuk beraya di Bahrain kerana keadaan masih tidak menentu.

“Kami juga tidak membuat sebarang persiapan raya kerana keutamaan kami kini adalah keselamatan dan sentiasa berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, saya ada membeli biskut raya bagi menyokong rakan-rakan Malaysia di sini selain untuk menghidupkan sedikit semangat raya dan menenangkan anak-anak,” katanya.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Bahrain atas maklumat terkini dan panduan berterusan kepada rakyat Malaysia di negara itu.

“Kami sentiasa berhubung rapat dengan keluarga di Malaysia untuk meyakinkan mereka bahawa kami selamat,” katanya.

Beliau mengakui berada jauh dari tanah air dalam keadaan tidak menentu seperti ini memberi cabaran dari segi emosi, namun sokongan daripada rakan-rakan, termasuk rakyat Malaysia lain banyak membantu meredakan keadaan.

Nizam turut berharap agar ketegangan di Asia Barat akan reda dalam masa terdekat.

--BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan