AM

Aidilfitri Di Perantauan, Tradisi Jadi Pengikat Identiti

20/03/2026 04:29 PM

SHAH ALAM, 20 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarga terus berusaha mengekalkan tradisi agar makna serta kemeriahan hari raya tetap dirasai walaupun dalam suasana berbeza.

Walaupun berada beribu kilometer dari tanah air, mereka melihat sambutan Aidilfitri juga sebahagian daripada simbol kekuatan identiti, warisan budaya dan ukhuwah di perantauan.

Pempengaruh Adilah Sainer atau The Rock Chilli Queen yang menetap di Virginia, Amerika Syarikat berkata kehidupan sebagai perantau menuntut lebih usaha kerana banyak melakukan persiapan tanpa bantuan keluarga besar.

Adilah yang berhijrah sejak Oktober 2023 berkata suasana Aidilfitri di negara itu lebih sederhana berikutan komuniti Muslim tidak sebanyak di Malaysia sekali gus menjadikan sambutan bergantung kepada inisiatif sendiri.

“Segalanya terletak pada bahu sendiri daripada menyediakan rendang hingga menganyam ketupat. Walaupun penat, saya tetap melakukannya kerana mahu anak melihat dan memahami tradisi kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wanita itu berkata pengalaman memasak bersama-sama ibunya bagi menyambut hari raya kini diterapkan kepada anak agar warisan itu terus kekal walaupun mereka membesar dalam persekitaran berbeza.

Sementara itu, suri rumah yang juga pempengaruh Siti Hajar Aisyah Hamrah, 35, berkata Aidilfitri di kawasan universiti tempat tinggalnya di Surrey, United Kingdom lebih bersifat antarabangsa dengan kehadiran umat Islam pelbagai negara.

Siti Hajar Aisyah yang mengikut suami menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) berkata kepelbagaian itu menjadikan sambutan lebih unik apabila setiap keluarga membawa juadah tradisi masing-masing.

“Bahan masakan tidak sukar diperoleh (di sini) cuma rasanya sedikit berbeza. Saya cuba mengekalkan rasa asli masakan seperti rendang dan kuah lodeh untuk hidangan pagi raya,” katanya.

Wanita itu berkata sambutan Aidilfitri di situ diraikan secara sederhana menerusi penganjuran aktiviti komuniti termasuk permainan luar bagi kanak-kanak.

Dalam pada itu, Siti Nur Mariam Mohd Sopi, 30, yang menetap di Perth, Australia sejak hampir enam tahun lepas berkata kesepakatan komuniti Islam di situ penting dalam menghidupkan suasana Aidilfitri.

Suri rumah itu berkata amalan bergotong-royong menjadi pengganti suasana beraya bersama-sama keluarga di kampung apabila mereka berkumpul untuk memasak sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berhampiran.

Untuk mengekalkan suasana perayaan seperti di tanah air, wanita yang berasal dari Langkawi, Kedah itu juga mendapatkan biskut raya secara dalam talian dari Malaysia, yang menjadi antara usahanya mengekalkan tradisi.

“Saya rindu beraya di Malaysia kerana kita dapat berkumpul dengan keluarga, namun di sini kami cuba mencipta suasana sendiri agar Aidilfitri tetap bermakna,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan