AM

Kerajaan Giat Usaha Kurangkan NRW, Perkukuh Sistem Bekalan Air - Fadillah

22/03/2026 11:36 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi di beberapa negeri termasuk kebocoran paip, kecurian air dan infrastruktur usang memberi kesan besar kepada kecekapan sistem bekalan air negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha berterusan sedang digiatkan untuk menaik taraf sistem, memperkukuh pemantauan dan mengurangkan kadar NRW demi memastikan setiap titisan air sampai kepada rakyat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan komited memperkukuh dasar dan pelaksanaan dalam sektor air melalui pendekatan lebih mampan dan bersepadu.

“Ini termasuk pelaburan dalam teknologi pintar, pengurusan sumber air secara holistik serta kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan air negara sentiasa terjamin,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Air Sedunia (HAS) hari ini.

Beliau berkata Malaysia dikurniakan sumber air yang banyak, namun cabaran pengurusan dan kelestariannya semakin kompleks seiring perubahan iklim dan pembangunan pesat.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh memandang ringan ancaman pencemaran sumber air. Aktiviti tidak bertanggungjawab, pembuangan sisa serta perubahan guna tanah memberi tekanan kepada sungai dan empangan kita,” katanya.

Justeru, Fadillah berkata Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) juga menjadi pelan jangka panjang Malaysia untuk memperbaiki pengurusan air negara, menjamin bekalan air bersih mencukupi dan menjadikan sektor air lebih moden dan mampan.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan rakyat dengan amalan penjimatan air perlu dijadikan budaya harian.

“Gunakan air secara berhemat, baiki kebocoran di rumah dan elakkan pembaziran. Setiap tindakan kecil kita memberi impak besar kepada masa depan bekalan air negara,” katanya.

Tema HAS peringkat antarabangsa tahun ini ialah “Air dan Kesaksamaan Gender” yang menekankan keadilan, kesaksamaan dan peranan semua pihak tanpa mengira jantina dalam menjaga sumber air.

Tema peringkat nasional pula iaitu “Air Milik Semua” mengingatkan bahawa setiap individu berhak kepada sumber air yang bersih, selamat dan mencukupi untuk kehidupan sejahtera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan