AM

NRES Perkukuh Sistem Amaran Awal Dan Integrasi AI, Tingkat Ketepatan Ramalan Cuaca

23/03/2026 12:32 PM

PUTRAJAYA, 23 Mac (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) terus komited memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan bersiaga dengan memperkukuh keupayaan pemantauan serta ramalan cuaca yang lebih jitu bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata usaha berkenaan dilaksanakan menerusi integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS) sejajar dengan cabaran iklim pada tahun ini.

"Inisiatif ini membolehkan penyampaian maklumat amaran awal seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem dilakukan dengan lebih pantas kepada agensi pengurusan bencana serta masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Meteorologi Sedunia 2026.

Arthur berkata pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara turut dijadikan teras kepada penyelidikan berkaitan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata NRES juga memberikan penekanan serius terhadap aspek literasi cuaca di peringkat akar umbi melalui program "Meteorologi Untuk Rakyat".

"Usaha ini bertujuan untuk membudayakan sikap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti agar setiap amaran yang dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang efektif," katanya.

Menurut Arthur, pemerkasaan aset teknikal dan pembangunan kepakaran modal insan dalam bidang meteorologi merupakan pelaburan keselamatan jangka panjang yang penting bagi menjamin kelangsungan sosioekonomi negara.

Di peringkat antarabangsa, beliau berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) khususnya dalam menyokong inisiatif Early Warnings for All, bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima maklumat amaran awal yang tepat dan tepat pada masanya.

Beliau berkata Malaysia hari ini menyertai komuniti global bagi menyambut Hari Meteorologi Sedunia 2026 yang mengangkat tema "Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok".

Beliau berkata sambutan tahun ini merupakan satu peringatan penting mengenai peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat daripada ancaman cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global.

"Perubahan iklim adalah cabaran yang menuntut tindakan kolektif dan berterusan daripada semua pihak. Data meteorologi yang kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi merupakan panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat," katanya.

Arthur turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca rasmi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan