AM

Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Sesak Petang Ini

23/03/2026 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara sesak teruk setakat 5 petang ini susulan pertambahan kenderaan warga kota yang pulang ke ibu negara selepas Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 melibatkan kedua-dua arah utara dan selatan akibat pergerakan serentak orang ramai.

“Bagi arah utara, kesesakan dikesan di banyak lokasi antaranya dari Sungkai ke Bidor, Bidor ke Tapah, Gua Tempurung ke Gopeng dan Changkat Jering ke Taiping Utara. 

“Aliran trafik paling perlahan antara Kuala Kangsar ke Terowong Menora sepanjang sembilan kilometer (km) dengan kelewatan mencecah 30 minit berikutan jalan berbukit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu di selatan, kesesakan luar biasa berlaku di sektor Johor, terutamanya dari Machap ke Yong Peng menghala utara dengan barisan kenderaan sepanjang hampir 20 km. 

“Lokasi yang turut terjejas termasuk dari Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Pedas Linggi ke Senawang serta kawasan selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala pusat bandar.

“Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dilaporkan sesak hanya bagi arah barat manakala arah ke timur lancar,” katanya.

Jurucakap LLM memaklumkan aliran trafik tinggi dikesan sepanjang 15 km dari Karak ke Plaza Tol Bentong dan berlanjutan sehingga ke Lentang. 

Trafik selepas Terowong Genting Sempah menuju Plaza Tol Gombak juga perlahan sepanjang sembilan km sebelum memasuki Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

LLM menjangkakan arus trafik tinggi berterusan sehingga lewat malam ini memandangkan orang ramai mengambil peluang pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk menjelang hari bekerja.

Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta e-dompet mencukupi selain mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan kamera litar tertutup trafik di laman web rasmi agensi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan